2/15/2014

PROGRAM BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M) 2014

 1.         Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah diperkenalkan pada tahun 2012. BR1M dilaksanakan selepas suatu kajian teliti dan pertimbangan yang dibuat oleh kerajaan. Pelbagai faktor telah memandu inflasi pada tahun 2011. Inflasi, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) tahunan, secara purata meningkat sebanyak 3.2% pada tahun 2011. Ia adalah satu kenaikan yang ketara, daripada 0.6% dan 1.7% yang dicatatkan pada 2009 dan 2010.

2.         Salah satu penyumbang utama inflasi 2011 adalah makanan dan minuman bukan alkohol yang pada purata melonjak sebanyak 4.8%, iaitu dua kali ganda daripada kenaikan 2.4% pada tahun 2010. Di antaranya ia disebabkan oleh kenaikan dalam harga daging, ikan dan makanan laut , sayur-sayuran dan buah-buahan.
3.         Pemacu utama inflasi adalah faktor penawaran atau faktor tolakan kos (cost-push inflation). Mengikut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2011, harga makanan global melalui suatu trend meningkat sejak separuh kedua tahun 2010 diantaranya disebabkan oleh faktor banjir di Thailand dan Vietnam yang menaikkan harga beras. Selain itu, harga tenaga global juga meningkat dengan ketara disebabkan aliran geopolitik pada masa itu. Ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi harga dalam negeri, sebagai contoh harga bijirin yang tinggi memberi kesan kepada makanan ayam yang membawa kepada harga ayam yang lebih tinggi di Malaysia.

4.         Memandangkan konteks ini, satu kajian telah dilakukan untuk mencari kaedah-kaedah bantuan, bukan sahaja untuk mengurangkan beban sara hidup yang meningkat, tetapi juga bagi meringgankan impak rasionalisasi subsidi. Di samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan akan menjadi yang paling terdedah. Antara bantuan yang diperkenalan selepas kajian tersebut adalah bantuan tunai BR1M dimana kerajaan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

5.         Selain bantuan tunai, kerajaan juga melaksanakan inisiatif-inisiatif lain bagi meringankan tekanan kos sara hidup, seperti bantuan sekolah RM100 bagi setiap murid sekolah rendah dan menengah, dan baucar buku bernilai RM200 untuk pelajar-pelajar di tingkatan enam dan institusi pengajian tinggi. Pada tahun 2013, baucar buku tersebut telah ditambah kepada RM250. Di samping itu, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia juga telah diperkenalkan.

6.         Bantuan-bantuan kerajaan telah memberi satu kesan yang positif kepada perusahaan kecil dan mikro di negara ini. Dengan bantuan tunai yang diberikan, isi rumah dapat mengekalkan tahap perbelanjaan mereka, sekali gus membantu perusahaan kecil dan mikro seperti kedai-kedai runcit di luar bandar untuk mengekalkan pendapatan mereka. Kesan yang positif juga boleh dilihat kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya. Bantuan tunai telah menjana permintaan domestik dan ia boleh dilihat dengan perkembangan 7.7% dan 7.6% penggunaan sektor swasta pada tahun 2012 dan 2013 masing-masing.

7.         Sebagai tindakan lanjutan, kerajaan telah memperkembangkan program BR1M untuk membantu rakyat berdepan dengan tekanan inflasi yang berterusan. Kerajaan telah mengembangkan bantuan, dengan melanjutkan bantuan tunai sebanyak RM250 kepada golongan bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah.

8.         Sebanyak 4.18 juta isi rumah telah mendapat faedah pada tahun 2012, manakala 4.81 juta isi rumah dan hampir 2 juta individu telah mendapat faedah dalam program BR1M 2.0.

9.         Untuk 2014, program ini telah diperluaskan untuk merangkumi isi rumah yang berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000, di mana mereka akan menerima RM450. Dalam pada itu, bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan menerima peningkatan jumlah, iaitu sebanyak RM650 dan golongan bujang pula akan menerima RM300. Ia dijangka lebih 7.02 juta isi rumah dan individu akan diberi manfaat program BR1M terkini.

10.     Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM50 untuk isi rumah dalam bentuk Kumpulan Takaful Rakyat 1 Malaysia Sumbangan (i- BR1M). Ini akan menyediakan perlindungan untuk ketua isi rumah bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014. Sekiranya berlaku kematian biasa, waris akan menerima RM1,000. Manakala, sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal disebabkan oleh kemalangan, waris akan menerima RM30,000.

11.     BR1M untuk tahun 2014 akan dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada 22 Februari 2014. Untuk mendahulukan rakyat dan berdasarkan pengalaman yang lepas, bantuan tunai tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima yang telah berdaftar. Tujuan ini, kerajaan dapat membantu dengan segera untuk meringankan beban rakyat. Disamping itu, pemimpin-pemimpin juga akan bertemu dengan rakyat di kawasan parlimen mereka untuk mengagihkan bantuan kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank pada 23 Februari 2014.

12.     Selain daripada Malaysia, sebilangan negara di dunia telah memperkenalkan program bantuan tunai atau seumpamanya termasuk Singapura, Iran, Macau, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, dan Hong Kong. Pada tahun 2012, Singapura memperkenalkan baucar GST untuk membantu mengurangkan peningkatan kos sara hidup rakyatnya. Manakala pada tahun 2008, Iran telah memperkenalkan bantuan tunai bulanan untuk mengurangkan impak rasionalisasi subsidi di negara itu. Macau juga ada memperkenalkan satu skim dipanggil "Wealth Partaking Scheme" pada tahun 2008 yang masih lagi berjalan. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada telah lama mewujudkan program untuk membantu rakyat yang terdedah seperti Program Makanan Setem (Food Stamp Program), Universal Kredit (Universal Credit) dan Kredit GST/HST. Hong Kong telah memberi tunai kepada rakyatnya pada tahun 2011.

13.     Selain daripada bantuan jangka pendek, kerajaan juga berusaha gigih untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang. Kerajaan sedar bahawa dalam jangka masa panjang, pendapatan juga perlu meningkat. Ini adalah matlamat Program Transformasi Ekonomi atau ETP. Sasaran ETP adalah untuk meningkatkan PNK per kapita (proksi untuk pendapatan) kepada USD15,000 pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, Malaysia berkemungkinan untuk mencapai sasaran ini lebih awal daripada yang dijangkakan, seperti yang boleh dilihat dengan pencapaian PNK per kapita kira-kira AS$10,265 untuk anggaran tahun 2013. Malah, kajian pendapatan isi rumah (Household Income Survey) oleh Jabatan Perangkaan, tahun 2012, min (mean) pendapatan isi rumah di Malaysia melonjak pada kadar pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 7.2% kepada RM5,000.

14.     Malaysia kini berada di landasan yang menggalakkan, terutamanya dengan prospek ekonomi global yang dijangka bertambah baik pada tahun ini. Pada tahun 2013, Malaysia berjaya mengharungi keadaan ekonomi global yang berterusan tidak menentu, seperti terbukti dengan KDNK yang mantap pada suku keempat, iaitu sebanyak 5.1% dan pertumbuhan 2013 sebanyak 4.7%. Secara perbandingan, Amerika Syarikat dan United Kingdom menyaksikan pertumbuhan sebanyak 1.9% masing-masing. Prospek ekonomi global pada tahun 2014 dijangka lebih baik menurut tinjauan IMF dalam “World Economic Outlook” pada bulan Januari 2014. IMF membuat unjuran pertumbuhan sebanyak 3.6%, iaitu pertumbuhan yang lebih baik daripada yang dijangka pada tahun 2013. Penambahbaikan dalam ekonomi negara-negara maju juga akan turut memberikan dorongan kepada perdagangan antarabangsa. Ini dijangka boleh membawa kepada pertumbuhan yang lebih baik untuk Malaysia, dimana kerajaan mengunjurkan pertumbuhan 5% hingga 5.5%.

Sumber:
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

15 FEBRUARI 2014